SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, October 22, 2015

SURAH NUH AYAT 12 -- AKIBAT DARIPADA PEMBENTUKAN CUACA YANG BAIK


و يمدد كم باموال و بنين
و يجعل لكم جنت و يجعل لكم انهرا

Dan Ia memperbilang akan kamu dengan harta-harta dan anak-anak (takathur) dan Ia mengadakan bagi kamu taman dan Ia mengadakan bagi kamu sungai-sungai.

Dan ia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Perkara inilah yang amat digemari oleh manusia. Namun apakah manusia benar-benar memperolehinya tanpa panduan daripada Tuhan? Dengan mengambil pendirian beriman kepada Tuhan maka dengan mudah mereka akan mempelajari ayat-ayat Tuhan yang memberi panduan dalam mengurus tadbir alam. Yang penting sekali adalah mengambil langkah berhati-hati dalam pekerjaan. Anak-anak memerlukan penjagaan, begitu juga dengan harta dan juga kebun-kebun serta sungai-sungai. Bukankah manusia merupakan khalifah yang diamanahkan untuk menjaga alam ini?

Namun bagaimanakah mereka dapat mengambil langkah berhati-hati, kiranya mereka mengingkari hari berlakunya bencana. Harta dan anak-anak merupakan amanah Tuhan, perlu diurus tadbir berdasarkan panduan daripada Tuhan.


i.     Keperluan Bahagian Dunia Untuk
       Tujuan Akhirat


Pada zaman ini, tiada harta ibarat tiada agama. Harta amat diperlukan untuk keperluan asas harian dan juga untuk tujuan beragama. Apajua yang dikaitkan dengan harta, termasuklah aktiviti ekonomi serta pemilikan aset adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk tujuan keselesaan hidup, bahkan aktiviti menghayati agama harus dapat dihidupkan. Ayat 28:77 harus difahami sebagai mencari kehidupan akhirat melalui perkara-perkara yang telah didatangkan Tuhan di dunia ini dan menggunakan sedikit bahagian yang diperolehi itu untuk keperluan dunia. Ini bermakna, kita perlu dapatkan apa jua bahagian dunia terlebih dahulu seperti harta, pangkat, kedudukan serta status dan menggunakan semua itu untuk mencari bahagian akhirat. Di samping itu, kita harus peruntukkan sedikit bahagian itu untuk keperluan dunia.


ii.    Berjihad Dengan Harta Terlebih Dahulu

Bukankah untuk berjihad, kita perlu mulai dengan harta dan kemudian diikuti dengan pengorbanan diri (61:11)? Berapa lamakah seseorang itu dapat menongkat alam ini? Apabila sampai masa اجل مسمى, tempatnya akan digantikan dengan generasi seterusnya yang terdiri daripada anak-anak keturunannya. Dengan penghayatan agama yang terdapat pada generasi sebelumnya, perkara yang sama akan dituruti oleh generasi berikutnya.

Adapun anak-anak, perlu dididik untuk menghadapi zaman mereka dan bukannya zaman kita ini. Suasana pada zaman mereka adalah sama sekali berbeza dengan zaman sekarang. Pada zaman ini yang komunikasi berada di hujung jari, generasi akan datang perlu didedahkan dengan teknologi sedemikian dan persiapan terhadap perubahan perlu dilakukan awal-awal lagi (77:03). Bagaimanakah generasi kini dapat mendidik generasi akan datang, sedangkan capaian terhadap internet perlu diperolehi pada kos yang tinggi. Berbanding di negara-negara lain seperti Sweden, Korea Selatan dan Singapura, capaian itu dapat diperolehi secara percuma. Mereka lebih terdedah kepada maklumat dan bersedia untuk menguasainya berbanding masyarakat kita. Bagaimana keadaan, sekiranya anak-anak tidak menghormati generasi terdahulu semata-mata mereka beranggapan mereka adalah lebih pakar maklumat berbanding ibubapa mereka?

iii.     Darihal Kebun dan Sungai-sungai

Air bersifat melarut, membawa sebatian-sebatian dan nutrien untuk diserap ke dalam tanah. Tumbuhan mengambilnya untuk tujuan pertumbuhan yang baik. Lebihan air akan membawa sedikit baki sebatian dan nutrien untuk pertumbuhan lumut serta rerumput dalam sungai dan untuk kehidupan equatik seperti ikan, udang, sesiput dan sebagainya. Semuanya wajar berlaku dengan penuh harmoni sejak dahulu lagi. Hanya golongan yang berpandukan panduan Tuhan dapat memanfaatkannya dengan cermat. Adakah wajar semua itu diserahkan kepada golongan ingkar, sehingga mereka mengambilnya secara gelojoh tidak terkawal. Sehingga mengakibatkan taman-taman serta sungai-sungai menjadi rosak kerananya. Wujudnya spesis ikan yang berupaya melakukan pembersihan sungai, dengan memakan kotoran yang disingkirkan di Sungai Kinta, Ipoh, yang dikenali sebagai ikan MBI, (kerana tugasnya melakukan pembersihan seperti kakitangan bandaraya) menunjukkan kekuasaan Tuhan, untuk tujuan membaik pulih kerosakan yang disebabkan oleh manusia. Ikan ini amat tidak digemari oleh kucing lantaran kulitnya yang sangat keras.

Sungai-sungai berpunca dari kawasan tadahan air. Kerosakan kawasan tadahan air akan membawa akibat kerosakan sungai.

iv.     Kerosakan Sumber Air

Kita dapati pada waktu ini, apabila berlaku penebangan hutan secara berleluasa, aliran air yang mengalir tidak lagi berlaku secara beransur-ansur dan ini dapat mengakibatkan terjadinya banjir kilat apabila hujan sedikit lebat. Kekeringan air segera berlaku, hanya untuk tempoh beberapa minggu sahaja hujan tidak turun. Bahkan, air yang seharusnya dapat digunakan untuk tujuan pengairan bendang menjadi semakin terhad, bukan disebabkan oleh kekurangan hujan per tahunan, tetapi disebabkan oleh salah selia pihak-pihak yang diberi tanggungjawab. Wajarkah lembaga kemudahan awam yang membekalkan air dipersalahkan, lantaran tidak berupaya menakung air semasa banjir besar yang berlaku secepat kilat?

Mengapa bukit-bukau perlu digondolkan sehingga mengakibatkan pergerakan air yang sepatutnya dapat diperlahankan, telah melimpahi tebing-tebing dan merobek tebing-tebing sungai? Kerosakan apakah ini, semata-mata kerana kayu hutan yang tak seberapa nilainya, hanya ribuan ringgit, mengakibatkan kemusnahan hasil pertanian sama ada akibat banjir atau kemarau? Apakah mereka layak untuk memakmurkan syurga Tuhan setelah mereka gagal di dunia ini? Begitulah juga umat ini yang membiarkan sahaja perlakuan seperti itu berlaku, tanpa sebarang usaha membaik pulih serta menasihati pihak-pihak tertentu yang melakukan kerosakan.

Memilih kebun-kebun yang ada punca air, adalah merupakan keadaan yang sesuai untuk tujuan pembangunan pertanian dan penternakan intensif. Aliran sungai adalah sinonim dengan pengangkutan makronutrien seperti sebatian nitrat, kalium dan fosforus dan mikronutrien seperti ion zink, boron dan sebagainya. Semua itu sangat sesuai untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tumbuhan yang lebat serta penghasilan hasil pertanian yang baik. Bahkan kita biasa mendengar pertanian giat yang dilaksanakan di kawasan delta, yang merupakan tempat tamadun manusia bermula, seperti delta Nil di Mesir dan delta Yangzhi di China. Demikian itu adalah perhiasan hidup di dunia ini sedangkan kurniaan Tuhan di akhirat adalah lebih baik.




No comments:

Post a Comment

Popular