SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 27, 2015

SURAH NUH AYAT 18 -- MANUSIA DIKEMBALIKAN DAN DIBANGKITKAN DI BUMI


ثم يعيد كم فيها و يخرجكم اخراجا

Kemudian Ia mengembalikan kamu padanya dan Ia mengeluarkan kamu suatu pengeluaran.

Kemudian ia mengembalikan kamu ke Dalam bumi (Sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (Sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), Dengan pengeluaran Yang sesungguh-sungguhnya?

i.    Mati Sebagai Suatu Kitaran

Tiada pertentangan antara ayat ini yang membincangkan kebangkitan dengan kejadian yang berlaku selepas daripada kematian (75:07). Tentang pengembalian ke dalam bumi adalah suatu yang dimaklumi. Kematian tubuh menyebabkan proses pereputan tubuh mengambil tempat. Pereputan menyingkirkan bahan-bahan asal yang amat sesuai untuk pertumbuhan baru tumbuh-tumbuhan. Ulat yang memakan tubuh dapat hidup untuk meneruskan agenda kehidupan di bumi. Suatu persoalan timbul, adakah manusia akan dibangkitkan nantinya dari bumi ini dengan tubuh yang asal atau dengan tubuh baru yang lain? Penulis tidak dapat memberi jawapan secara pasti untuk manusia yang menganggap perkara kehidupan di dunia ini adalah perkara yang nyata. Lantaran kehidupan ini dengan sendirinya disebut sebagai alam maya maka secara mayanya persoalan sedemikian tidak harus wujud dan tiada jawapan harus diberi.

Bukan sahaja untuk memberi jawapan terhadap persoalan sedemikian bahkan, jawapan kepada bentuk rupa ‘bumi’ yang baru tempat manusia dibangkitkan kelak, bukanlah ada sesuatu ilmu pengetahuan oleh manusia tentang itu melainkan ilmu yang sedikit. Kehidupan di dunia ini bukanlah perkara main-main, sekiranya Tuhan menghendaki sebagai permainan, di sisi Tuhan terdapat sebenar-benar permainan sekiranya Tuhan menghendaki.

ii.    Manusia Yang Memerlukan 
       Alam Kediaman

Yang kerap menjadi persoalan manusia adalah, adakah terdapat alam kediaman yang lain yang dihuni oleh makhluk-makhluk lain di bumi atau di sekitar bumi ini? Sebenarnya Tuhan jualah yang mencipta bumi bersama dengan makhluk-makhluk ciptaanNya yang bertebaran di bumi ini dan begitu juga Tuhan jualah yang telah mencipta langit dan juga makhluk-makhluk yang bertebaran di langit (42:29). Bahawa bumi ini telah Tuhan ciptakan sebagai kediaman untuk manusia dan haiwan-haiwan lain termasuklah juga makhluk jin dan di langit pula, Tuhan telah ciptakan sebagai kediaman makhluk-makhluk tertentu seperti malaikat dan makhluk yang lain yang memiliki roh (70:04) – yang melaksanakan peranan tertentu.  

Mereka yang skeptik tentang kehadiran makhluk-
makhluk Tuhan yang lain sebenarnya cuba 
menafikan kekuasaan Tuhan.

iii.    Makhluk-makhluk Lain Yang 
        Bertebaran di Bumi dan Di Langit

Segala-galanya berada di dalam penguasaan dan pengawasan Tuhan. Sebagai makhluk ciptaan Tuhan, kita wajar mendiami bumi ini dan menjaganya dengan baik dan begitu juga makhluk-makhluk di langit, mereka seharusnya mendiami langit dan menjaganya dengan baik. Sekiranya manusia mengingkari kenyataan ini dengan memilih melakukan kerosakan di bumi ini dan berusaha untuk menempati langit dan turut merosakkan langit, akan sampai suatu masa nanti, makhluk yang ingkar di langit akan berusaha menguasai bumi ini dan mengambil alih peranan manusia sehingga menafikan hak manusia mengurus tadbir bumi ini! Penulis percaya perkara ini akan berlaku berdasarkan ramalan Al-Hadith menjurus kepada pemberitahuan mendatang. Namun Al-Quran tidak pernah membesar-besar perkhabaran sedemikian melainkan sebagai ujian kepada manusia. 

Di alam kediaman bumi ini, manusia (yang berfikiran bebas) dapat mengerti tujuan kehidupan ini. Mereka dapat mengerti erti penciptaan sehingga mereka harus memilih untuk sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Dengan demikian mereka akan dapat menjalani kehidupan membina tamadun demi memperolehi kemudahan serta menyampaikan usaha mereka beribadah kepada Tuhan. Kemudahan yang Tuhan sediakan serta keupayaan berfikir yang Tuhan beri kepada mereka sebagai anugerah, tujuannya adalah supaya mereka sentiasa dapat mempelajari sesuatu dalam kehidupan ini, agar mereka dapat menjadi hamba Tuhan yang dapat memainkan peranan dengan baik. Mereka akan mengerti tentang alam kediaman mereka dan mereka perlu bersungguh-sungguh menjagainya dengan panduan dan tatacara yang telah Tuhan sediakan. Mereka tidak wajar berlaku gelojoh sehingga mengakibatkan alam kediaman mereka semakin binasa.




No comments:

Post a Comment

Popular