SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, November 3, 2015

SURAH NUH AYAT 14 -- WALHAL TUHAN YANG TELAH MEMBENTUK MEREKA


و قد خلقكم اطوارا

Walhal sesungguhnya telah merekabentuk Ia akan kamu tahap-tahap tertentu.

"Padahal Sesungguhnya ia telah menciptakan kamu Dengan kejadian Yang berperingkat-peringkat?

i.     Tahap-tahap Perkembangan Manusia

Tahap-tahap tertentu dapat dinyatakan sebagai tahap perkembangan. Daripada janin manusia dilahirkan sebagai bayi. Seterusnya melalui zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua. Mengapakah mereka menidakkan bahawa tempoh hayat mereka di dunia ini adalah terhad dan mereka akan segera dikembalikan kepada Tuhan selepas itu? Kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah peluang manusia menimba pengalaman hidup yang dinamai sebagai amalan. Di akhirat nanti, ada perhitungan untuk dinilai bagi setiap individu menurut amalan atau pengalaman masing-masing, kecuali mereka yang dikehendaki Tuhan dan urusan itu kembali kepada Tuhan. 

Perkembangan Manusia

Mereka juga telah melalui tahap-tahap pembentukan janin yang berlaku dalam tiga kegelapan. Pengulas-pengulas ayat Al-Quran berbeza pendapat dalam memberi pengertian makna tiga kegelapan. Pertamanya adalah kegelapan ovari, kegelapan sesalur uterin dan kegelapan uterus. Terdapat juga yang menafsirkan bahawa tiga kegelapan itu adalah tiga lapisan uterus iaitu endometrium, perimetrium dan miometrium. Yang lebih hampir kepada penerangan lapisan adalah pembentukan tiga lapisan yang terbentuk selepas perlekatan blastosista ke dinding uterus iaitu lapisan sinsitiotrofoblas, sitiotrofoblas dan membran Heuser.

ii.    Kupasan Berdasarkan Kefahaman 
       Masing-masing

Demikianlah ulasan terhadap Al-Quran yang berbeza-beza pendapat berdasarkan kepakaran seseorang. Kerja-kerja kefahaman seperti ini tidak harus dilarang kerana ayat-ayat Al-Quran sesungguhnya merupakan perkataan yang luas dan dapat memberi makna berbagai-bagai. Terdapat juga ulasan kegelapan itu dikaitkan perkembangan semasa minggu ketiga pembentukan janin, bermula daripada alaqah yang dimulai daripada peringkat pembentukan cakera germa trilaminar yang berlaku pada janin itu sendiri. Demikian itu adalah ulasan yang ada hubungan dengan tahap-tahap masa dan had-had tempat berlaku pembentukan manusia.

Tentunya bukan penerangan seperti ini yang akan diperjelas oleh Nabi Nuh A.S. kepada kaum baginda, hanya kita pada waktu ini yang sedang membaca ini dapat memperolehi sedikit pengajaran ayat-ayat Tuhan yang tidak diperolehi oleh umat Nabi Nuh memandangkan mereka kini telah tiada. Demikianlah kaum Nabi Nuh membantah ajaran Tuhan padahal ilmu mereka tidak meliputi akibat daripada kedegilan mereka sendiri, suatu pengingkaran dan kesombongan tak kesampaian. Mereka telah pekat dengan ketagihan penyembahan berhala.






No comments:

Post a Comment

Popular