SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, December 10, 2016

SURAH AL-JIN AYAT 10 -- JIN TIDAK MENGETAHUI PERKARA AKAN DATANG


و انا لا ندرى اشر اريد بمن فى 
الارض ام اراد بهم ربهم رشدا

Dan bahawasanya kami, tidak kami mengetahui adakah keburukan, (yang) telah menghendaki Ia, terhadap sesiapapun, pada bumi itu, ataukah, telah menghendaki Ia, terhadap mereka, oleh Tuhan mereka, suatu petunjuk?

Dan Bahawa Sesungguhnya Kami tidak mengetahui Adakah (dengan adanya kawalan langit Yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?

i.    Jin Tidak Mengetahui Perkara Ghaib

Ini bermakna jin tidak berupaya untuk mengetahui tentang kebaikan atau keburukan yang akan menimpa seseorang. Tidak juga jin boleh diharap untuk memberi petunjuk kepada sesiapa jua kalangan makhluk, iaitu tentang siapakah antara mereka yang lebih layak yang harus dituruti? Ini bermakna keadaan dan kehidupan jin adalah sepertimana keadaan manusia. Mereka hanya mengetahui terhadap perkara-perkara yang dapat mereka saksikan sama ada perkara yang berlaku dalam kalangan mereka ataupun kalangan manusia.

Meminta pertolongan daripada jin untuk menilik nasib adalah suatu perbuatan yang sia-sia. Tiada perkara ghaib darihal perkara-perkara akan datang dapat diketahui oleh jin dan tidak pula perkara-perkara tersembunyi. Hanya di sisi Allah perkara ghaib, termasuk bilakah seseorang akan menempuh kematian atau bilakah hari As-Saah akan berlaku? Sekalipun bangsa jin dapat menyaksikan peristiwa sebahagian mereka yang ditimpa azab terkena api suluhan yang terang akibat daripada hentaman meteorit atau sebagainya, namun perkara sedemikian adalah merupakan perkara ghaib daripada pengamatan manusia.

Selain daripada perkara ghaib yang tidak diketahui manusia, bangsa jin juga tidak mengetahui perkara ghaib pada rujukan mereka. Buktinya tatkala jin diperintah oleh Nabi Sulaiman A.S. untuk melaksanakan sesuatu kerja, mereka tidak mengetahui selang beberapa ketika itu yang Nabi Sulaiman A.S. telah sampai kepada tempoh ajalnya. Kemangkatan Nabi Sulaiman A.S. ‘diketahui’ oleh anai-anai yang memakan kayu tongkat baginda sehingga jenazah Nabi Sulaiman A.S. tersungkur kemudiannya. Maka terbuktilah jin tidak mengetahui perkara ghaib. Oleh itu, perkhabaran daripada jin tidak harus dijadikan rujukan perkara ghaib yang akan berlaku termasuklah antaranya masa kematian seseorang dan apa jua kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang. 

Jin sebenarnya lebih mengharapkan manusia dalam banyak perkara. Sepertimana haiwan-haiwan yang berada di sekeliling manusia, bangsa jin gemar memakan baki makanan manusia seperti wap-wap tulang sisa dan sebahagian makanan manusia yang dibuang. Sehingga didapati seseorang yang mengalami kerasukan jin atau dapat bersiar-siar di alam jin, mereka seringkali dapati diri mereka berada di kawasan-kawasan pembuangan dan longokan sampah apabila mereka tersedar atau kembali semula ke alam nyata. Begitu juga dalam hal memperolehi keberkatan kesan daripada perlaksanaan ibadah, bangsa jin lebih gemar mengharapkan pembacaan doa serta amalan ayat-ayat tertentu Al-Quran yang dilakukan oleh manusia. Dan antara perkara yang melucukan, sebahagian daripada kaum wanita kalangan jin yang beragama Islam amat menyukai mencari pasangan hidup sebahagian lelaki dalam kalangan manusia semata-mata untuk mendapatkan zuriat yang dapat menyediakan mereka ganjaran pahala yang besar atas pengamalan ibadah tertentu berbanding dengan yang biasanya mereka lakukan. Penulis tidak dapat memberi ulasan sama ada perkara demikian adalah perkara benar atau hanya merupakan perkara perkhabaran belaka.

ii.   Hikmah Mengimani Ketentuan Tuhan

Sama ada perkara baik yang menimpa manusia dan jin atau sebaliknya, segala-segalanya adalah kehendak dan ketentuan Tuhan dan perkara demikian terdapat dalam kitab yang terang. Hikmat tentang perkara demikian terdapat pengajaran kepada manusia supaya mereka sentiasa menerima keadaan mereka sama ada mereka suka atau tidak. Yang demikian itu perkara buruk yang berlaku tidak akan dihadapi oleh manusia dengan rasa kecewa bersangatan dan tidak pula putus asa. Bahkan apabila menimpa mereka kebaikan, mereka akan menghadapinya dengan tenang dan tidak terlalu gembira sehingga melupai Tuhan serta kebaikan-kebaikan yang Ia limpahkan. Perkara demikian juga memberi motivasi untuk melakukan amal kebajikan serta sabar.

Sesiapapun yang mendakwa mengetahui perkara
akan datang adalah pembohong. Satu perkara yang boleh 
dipercayai dari futej ini iaitu ia berasal dari bumi.


No comments:

Post a Comment

Popular