SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, January 18, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 16 -- MEREKA BANYAK MEMILIH JALAN TAREQAT


و ان لواستقاموا على الطريقة
لاسقينهم ماء غدقا

Dan bahawa sanya sekiranya telah beristiqamah mereka atas jalan tareqat itu, pasti telah memberi minum Kami akan mereka dengan air yang segar. 

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan Bahawa sesungguhnya! kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

i.    Kepelbagaian Erti Istiqamah 

Perkataan istiqamah sering diertikan dengan tetap perjalanan, konsisten atau berkekalan dengan suatu pengamalan. Perkataan yang lebih hampir adalah berpendirian teguh sepertimana yang diperintahkan. Sebagai contoh adalah dimaklumi dalam suatu peperangan, dilarang tentera-tentera merosakkan hasil pertanian dan membunuh ternakan. Namun dalam usaha pengepungan RasululLah S.A.W. ke atas Yahudi bani Quraizah, RasululLah S.A.W. telah mengarahkan untuk memusnahkan tanaman kurma milik Yahudi berkenaan. Bukankah usaha ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh baginda?

Pada masa itu, maslahat besar adalah, dengan memusnahkan hasil ladang Yahudi, dapat memberi suatu mesej bahawa mereka akan dimusnahkan bersama seluruh harta mereka dan umat Islam tidak berminat untuk merampas harta mereka sebagai pertaruhan. Akhirnya mereka dibunuh semuanya kecuali kaum wanita dan kanak-kanak. Oleh itu, antara perintah tetap dan permaslahatan besar yang bertentangan, yang mana satukah perlu dituruti? Istiqamah dalam hal ini perlu ditakrif semula kefahamannya sebagai berpendirian teguh sepertimana yang diperintahkan dengan mengutamakan yang perlu.

ii.    Pendekatan Jalan Tareqat

Jalan tareqat adalah suatu jalan peribadatan khusus dalam mentaati perintah Tuhan. Masyarakat jin dimaklumi dengan ketaatan berlebihan mereka mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka lebih menyenangi untuk melakukan ibadah berzikir bersama-sama. Dengan itu mereka memilih masjid-masjid untuk berzikir kepada Tuhan sepertimana yang diperintahkan (24:36), sehingga mereka membentuk pembacaan-pembacaan khusus yang mereka perolehi daripada amalan RasululLah S.A.W, yang diwarisi zaman berzaman. Amalan seperti ini membentuk peribadatan yang dikenali sebagai amalan tareqat. Dalam kalangan umat ini, amalan lazim seperti ini telah tersebar meliputi tareqat Saziliyah, Nasabandiah, Muhammadiah, Satariyah dan sebagainya. Namun banyak terdapat pertentangan terutama antara golongan ulama dengan golongan pengamal-pengamal zikir tareqat, sedangkan matlamat mereka hanyalah Allah S.W.T.  Menyebut nama Allah banyak-banyaknya pada waktu pagi dan petang. 

Perkataan غدقا diterjemah dengan berbagai-bagai terjemahan termasuklah lebat, banyak, cukup dan segar. Namun penulis lebih condong dengan terjemahan sebagai segar. Apalah gunanya menempuh jalan yang benar sekiranya ganjaran yang diperolehi hanyalah air yang lebat atau yang banyak atau yang cukup itu, yang dapat diperolehi di mana-mana. Pada zaman yang memerlukan bayaran tinggi, untuk mendapatkan air yang segar, kos yang lebih tinggi perlu dikeluarkan. Manusia sendiri memerlukan penapis tertentu untuk memperolehi air yang segar dan sehingga kini, belum ada sebarang penapis yang dapat menyingkirkan bahan nitrat - yang merupakan bahan cemar buangan daripada baja atau najis haiwan dan manusia, selain kaedah R.O. Air perbekalan yang tidak dapat dikatakan sebagai air yang segar. Pada zaman ini, mendapatkan air minuman yang dipekkan dalam bungkusan yang dijual merata-rata, kebanyakannya telah ditambah dengan bahan tambah untuk tujuan pewarnaan atau perisa yang dapat menimbulkan kesan sumbatan. Begitu juga dengan air yang diminum oleh masyarakat jin, yang sebahagiannya telah melalui pemprosesan tertentu berdasarkan teknologi mereka. Air segar sekiranya diamalkan, berdasarkan pendapat pakar homeopati, dapat mencuci tubuh untuk terhindar daripada pelbagai jenis penyakit. 

Suatu persoalan mungkin timbul bahawa makhluk jin dicipta Tuhan daripada api, lalu apakah kesan pengambilan air oleh mereka sebagai minuman? Adakah air tidak memadam mereka? Sedangkan manusia masih dapat melakukan kerja pengimpalan dalam air. Persoalan sedemikian hanya Tuhan yang mengetahui.

iii.    Kepentingan Meminum Air Segar

Air penting untuk keperluan haiwan dan tumbuhan termasuk manusia. Air yang segar bukanlah merupakan air yang dirawat, walaupun kini terdapat kepelbagaian teknologi untuk mendapatkan air bersih. Yang terkini adalah pemprosesan semula air laut dengan kos paling rendah sekitar RM1.30 untuk setiap 1000 liter air (taksiran 2010). Air segar seharusnya diperolehi daripada air mata air, air hujan, air hulu sungai dan sebagainya. Pencemaran pada masa ini telah mencapai keadaan serius disebabkan aktiviti pembalakan serta pencerobohan kawasan tadahan, sehingga mengakibatkan usaha-usaha mendapatkan air segar menjadi terhad. Pencemaran asap kenderaan dan kilang-kilang mengakibatkan air hujan tidak dapat diminum secara terus dan memerlukan rawatan tertentu untuk digunakan. Sumber air terakhir air segar adalah dari dalam bumi melalui mata air (67:30) yang sedia mengalirkan air atau melalui usaha manusia menebuk bumi dengan menggunakan sesalur tertentu. Usaha besar-besaran seperti ini telah dilaksanakan di negara Libya yang mendapatkan air dari takungan aquefir dari lapisan bawah bumi. Perbezaan ketara antara pengambilan air segar dan air yang dirawat, air segar menyediakan suatu mekanisma pembersihan dalam tubuh lebih berkesan berbanding air yang dirawat. Air segar mungkin sahaja mengandungi bahan-bahan mineral tertentu namun keseimbangan mineral dalam air segar adalah bersesuaian untuk tubuh dan tidak memudharatkan. Air mineral yang diproses manusia mungkin sahaja mengandungi kandungan ion-ion mineral alkali bumi yang berlebihan, sehingga dapat mengakibatkan pembentukan batu karang dalam ginjal. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati terhadap pengambilan air mineral yang dipekkan, yang dijual secara merata-rata pada masa ini. Mengambil air dari sumber mata air secara terus adalah lebih baik berbanding pengambilan air mineral yang dibotolkan.

iv.   Aktiviti-aktiviti Manusia Sehingga 
       Pemperolehan Air Segar Menjadi Terhad

Dalam surah Al-Mulk sebelum ini, ada disebut sebahagian aktiviti manusia yang mengakibatkan keperluan mendapatkan air bersih menjadi semakin terhad. Antaranya adalah penebangan terbuka sehingga kerja-kerja penakungan air tidak berlaku dengan berkesan. Keaktifan manusia melakukan kerja-kerja pembangunan secara bersungguh-sungguh akhirnya mengakibatkan bumi, mengalami suatu keadaan yang dinamai sebagi perubahan cuaca. Manusia terlalu aktif melepaskan haba ke atmosfera, lebihan-lebihan wap baja dan juga bahan-bahan cemar lain pula mengakibatkan kejadian hujan terlalu lebat dan banjir kilat. Akibatnya air bersih tidak dapat dimanfaatkan dan keadaan kemarau dapat mengeringkan sumber-sumber air berkenaan. Keaktifan manusia melakukan pembangunan adalah dirangsang aktiviti kitaran gila pengamalan sistem riba dan pajakan secara berleluasa. Inflasi berpanjangan mengakibatkan manusia menjadi terlampau rajin bekerja dari pagi hingga ke petang mendapatkan gaji bagi membayar hutang.

Perbekalan air yang dahulunya diperolehi secara percuma sejak zaman penjajahan, kini memerlukan bayaran tinggi untuk memperolehinya. Sehingga suatu masa nanti, bangunan-bangunan yang mereka dirikan akan tenggelam bersama lumpur daripada runtuhan lereng-lereng gunung atau tercabut akibat tiupan angin kencang ribut atau taufan atau mereput akibat hujan asid yang memudharatkan ataupun terion membentuk debu yang terapung akibat daripada pancaran lampau lembayung. Pembuangan sampah yang berleluasa sehingga mengakibatkan pencemaran sungai dan pembebasan wap metana menjadi perangkap haba yang sangat berkesan, sehingga dapat mengganggu pembentukan awan. Awan yang terbentuk pula, perlu berada pada kedudukan lebih rendah untuk menurunkan hujan dan mengakibatkan kejadian petir yang menyambar serta hujan hangat yang merosakkan tumbuhan-tumbuhan halus seperti alga, lumut dan rumpair. Semua ini menunjukkan kerosakan bumi yang amat serius akan terjadi sehingga mengakibatkan, manusia dan haiwan pada keseluruhannya mengalami kekurangan harta atau makanan (67:18). 

Sebenarnya terdapat kesempatan yang akan dimainkan oleh bangsa Jin, yang akan mempengaruhi golongan ingkar dalam kalangan manusia, untuk melakukan sesuatu akibat pencemaran alam yang berlaku kini, supaya mereka dapat menggunakan alasan itu untuk menguasai bumi ini.




No comments:

Post a Comment

Popular