SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, March 14, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 23 -- KERJA RASUL HANYA MENYAMPAIKAN RISALAH


الا بلغا من الله و رسلته و من يعص الله
و رسوله فان له نار جهنم خلدين فيها ابدا

Melainkan suatu penyampaian daripada Allah dan risalahNya dan barangsiapa yang ia menyalahi akan Allah dan akan utusanNya maka sesungguhnya baginya neraka jahanam, berkekalan mereka di dalamnya berabad-abad lamanya. 

(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaKu menyampaikannya) dan sesiapa Yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka Sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.

Lantaran tugas kerasulan hanya menyampaikan risalah yang datang daripada Tuhan. Adapun Jibril A.S. yang membawa risalah adalah malaikat yang kuat, bijak lagi dapat dipercayai. Ia hanya menyerahkan risalah dan bukannya berkata-kata bagi pihak Tuhan. Dalam ayat 72:22 memberitahu bahawa RasululLah S.A.W. tidak menerima perkataan melalui perantaraan yang berkata-kata bagi pihak Tuhan. Disambung seterusnya pada ayat 72:23 iaitu melainkan untuk menyambung tugas menyampaikan risalah yang diterima melalui malaikat Jibril A.S. daripada Tuhan. Ayat selanjutnya memberi ancaman bahawa barangsiapa yang menderhakai Allah dan menderhakai rasulNya sama ada malaikat Jibril A.S., sebagaimana yang diderhakai oleh Yahudi atau Muhammad S.A.W. sebagaimana yang dilakukan oleh pemuka-pemuka Quraisy Makkah, maka tempat mereka di neraka Jahanam, mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. 

i.    Kaedah Hukum Kearaban Untuk 
      Memahami Ayat

Susunan ayat-ayat sedemikian dengan mengambil hukum kearaban, menghimpun ayat daripada 72:20/21/22/23 maka ayat terkemudian didapati menjelaskan ayat-ayat terdahulu, maka benarlah ayat Allah 11:01. Ayat ini benar-benar menjelaskan bahawa tugas kerasulan hanyalah menyampaikan risalah Tuhan dan bukan mendapatkan perkataan daripada pihak yang berkata-kata bagi pihak Tuhan atau nabi mengada-adakan suatu perkataan, lalu mewatakkan Tuhan dan malaikat Jibril A.S. sebagai pengutus wahyu. Terdapat ajaran kerohanian yang bukan-bukan, yang menyatakan bahawa seolah-olah Muhammad RasululLah S.A.W. itu seperti dirasuk suatu entiti yang dinamainya sebagai Tuhan untuk mengadakan suatu perkhabaran yang beragendakan malaikat Jibril sebagai penghantar wahyu. Sekiranya demikian, tanyalah kepada mereka yang pulih daripada histeria atau kerasukan syaitan, siapakah sebenarnya yang mengeluarkan kata-kata kerasukan semasa ianya dalam keadaan tidak menyedarinya. Adakah Muhammad RasululLah S.A.W. seperti itu sehingga tidak menyedari perkataan yang diungkapkan melalui lisannya? Sekiranya demikian, tidak perlulah golongan musyrikin Quraisy merencana tipudaya sehingga memeranginya dan menentangnya habis-habisan, cukup dengan mendapatkan tabib yang pakar.

Tugas kerasulan sebenarnya bukanlah semata-mata tugas RasululLah S.A.W. Tugas kerasulan telah dilaksanakan oleh khalifah-khalifah sesudah itu selepas daripada kewafatan RasululLah S.A.W. Khalifah-khalifah telah melaksanakan tugas kerasulan. Mereka menyambung tugas kerasulan dengan menyambung kerja-kerja menyampaikan ayat-ayat Tuhan. Mengapa terlalu sedikit hadith-hadith RasululLah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Bakar R.A? Bukankah beliau merupakan Ahlul Bait yang paling rapat dengan RasululLah S.A.W, sejak daripada mula kerasulan dan bersama-sama baginda semasa berlindung dalam gua Hira’. Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan hadith Nabi S.A.W. melainkan pada jumlah yang amat sedikit. Beliau menyampaikan ayat-ayat Tuhan dan perkara itu telah beliau lakukan. Apabila berlaku tuntutan pewarisan harta RasululLah S.A.W. selepas kewafatan baginda oleh sebahagian isteri baginda, Khalifah Abu Bakar R.A. dengan tegas menyatakan bahawa RasululLah S.A.W. tidak mewariskan dinar dan dirham kepada sesiapapun. Baginda hanya mewariskan ilmu daripada Al-Qur’an. Hadith berkenaan ini dan sedikit hadith lain telah beliau sampaikan. Harta-harta peninggalan RasululLah S.A.W. diserahkan kepada baitulmal untuk urusan keperluan umat dan infaq pada jalan Tuhan.

ii.   Menyalahi (menderhakai) Allah dan 
      RasulNya, Menempah Neraka Jahanam

Perkataan  يعص الله و رسوله  adalah lebih jitu difahami sebagai menyalahi akan Allah dan akan rasulNya. Terjemahan biasa adalah menderhakai Allah dan rasulNya. Perkataan ini tidak wajar diambil sekerat tetapi harus dirujuk dengan perkataan sebelumnya iaitu  بلغا من الله و رسلته iaitu telah menyampai ia daripada Allah dan risalah-risalahNya. Demikian itu perintah Tuhan agar ayat-ayat sentiasa dihubungkan membentuk himpunan yang lengkap (28:51). Muhammad RasululLah S.A.W. telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Muhammad RasululLah S.A.W. tidak menyampaikan risalah-risalah Jibril A.S. Khalifah Abu Bakar R.A. juga telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Khalifah Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan risalah-risalah Muhammad RasululLah S.A.W. maupun risalah-risalah Jibril A.S. melainkan yang ada rujukan daripada ayat-ayat Tuhan. Begitu juga yang disampaikan oleh Khalifah Umar R.A., Khalifah Usman R.A. dan juga Khalifah Ali R.A. Pertembungan kefahaman sedemikian telah terjadi antara Khalifah Ali R.A. dengan Sahabat Abu Zarr R.A. yang mengetuai pemberontakan penduduk Iraq. Sahabat Abu Zarr R.A. telah menyedari kesilapan beliau lalu bertaubat serta mengingatkan kembali penduduk Iraq bahawa beliau telah tersilap kefahaman dalam memahami ayat-ayat Tuhan, sehingga mengambil pendirian menentang Khalifah Ali R.A. Demikian itulah sikap sahabat yang tidak mengambil pemimpin mereka selaku sekutu Tuhan melainkan untuk mentaati perintah Tuhan. Malangnya beliau telah dibunuh oleh penduduk Iraq lalu tercetuslah pertempuran antara tentera yang setia kepada kekhalifahan yang sah dengan kumpulan pemberontak yang melampau dengan berakhir kemenangan kepada pihak yang lebih condong kepada kebenaran. Khalifah Ali R.A. di pihak yang benar. Abu Zarr R.A. juga di pihak yang benar. Kemenangan diperolehi oleh pihak yang lebih benar antara kedua-dua pihak yang benar.

iii.    Bagaimana Pendirian Kita?

Menyampaikan perkara yang lain daripada risalah-risalah Tuhan adalah perbuatan yang salah, sekalipun perkara yang disampaikan itu berbau agama. Menyampaikan pelajaran Al-Hadith atau As-Sunnah harus merujuk kepada ayat-ayat Tuhan untuk mensahihkannya terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh hukum-hakam. Mengambil petunjuk lain sehingga tidak kembali kepada Allah dan risalah-risalahNya adalah menempah tiket ke neraka jahanam kekal di dalamnya berabad-abad lamanya.

Bagaimanakah sikap kita sekarang ini? Menyalahi Allah dan rasulNya sepertimana yang dilakukan oleh Yahudi dan kaum Musyrikin Quraisy, dengan berkesudahan kekal di neraka Jahanam? Ataukah menyalahi penyampai agama yang semata-mata daripada Allah daripada risalah-risalahNya seperti yang dilakukan oleh pemberontak Iraq, membunuh sahabat RasululLah seperti Abu Zarr R.A. dan Saidina Ali R.A? Mereka itu juga termasuk kategori yang sama seperti kaum-kaum yang ingkar yang disebutkan. Bukankah terdapat ayat bahawa yang paling celaka daripada kalangan umat terdahulu adalah mereka yang membunuh unta dan menderhakai Nabi Salleh A.S. dan terdapat atsar Saidina Ali R.A. bahawa mereka yang celaka daripada umat ini adalah yang membunuh beliau dalam kalangan penduduk Iraq? Bencana datang dari Iraq sejak dari kerajaan Babilon hingga ke akhir zaman. 



No comments:

Post a Comment

Popular